Emel dari seorang sahabat...

Assalamualaikum farah,

Baru-baru ini, saya selesai membaca sebuah buku. Perangai saya yang tidak baik adalah jika saya sudah asyik dengan jalan cerita sebuah buku, saya akan susah untuk meletakkannya selagi ia tidak habis. Setiap kali saya terpaksa meletakkannya, kepala saya akan berfikir tentangnya sehingga saya memegang buku tersebut semula. Sebab itu saya sangat berhati-hati dengan bahan bacaan saya supaya ianya mestilah bermanfaat dan tidak hanya menghabiskan masa saya. Untuk pengetahuan farah, buku-buku yang telah saya baca dan saya fikir menarik, telah saya masukkan ke e-shop Islamic Parenting Network. Jemputlah jenguk buku-buku tersebut ya!. Buku terbaru yang saya baca adalah sebuah Novel bertajuk Mustapha Kamal Attartuk. Buku ini menyebabkan saya rasa sedih dan termenung sambil membuat perbandingan dengan buku-buku yang telah saya baca sebelumnya. Kesimpulan yang boleh saya buat adalah..

"3 nama iaitu Imam Shafie, Muhammad Al Fateh dan Kamal Attartuk mempunyai ibu yang kuat agama dan kuat beribadat. Ketiga-tiganya selalu berdoa untuk anak mereka dan selalu menyatakan harapan mereka kepada anak mereka supaya mereka menguasai al Quran. Tetapi kenapa 2 jadi kenyataan (Imam Syafie dan Muhammad Al Fateh) dan seorang lagi (Mustapha Kamal Attartuk) tidak? Malah dialah penghapus sistem kekhalifahan Islam di muka bumi, menukar azan, menghapuskan sekolah agama, menutup masjid dsb."

Sesiapa yang tidak tahu tentang 3 tokoh ini saya perkenalkan disini serba sedikit, Imam Syafie yang dimaksudkan adalah Imam Mazhab kita yang menghafal seluruh al Quran pada umur 9 tahun, Muhammad Al Fateh adalah penakluk Kota Konstantinopal yang diberitakan dalam hadis Rasulullah 800 tahun sebelumnya, dan Mustapha Kamal Attartuk adalah Presiden Turki yang pertama. Cita-cita ketiga-tiga ibu mereka ini adalah untuk melihat anak mereka menjadi penghafal al Quran namun saya telitikan banyak bezanya antara ibu-ibu yang berjaya dengan seorang ibu yang agak malang ini. Didalam setiap kejadian yang telah berlalu, memang Allah sematkan pengajarannya bagi orang yang berfikir dan mengambil pelajaran darinya. InsyaAllah saya akan kongsikan di emel yang akan datang. Namun saya ingatkan, bahawa sesuatu cerita, akan di nilai lain bagi orang yang berlainan. Maka, sama jugalah seperti buku ini. Saya mungkin menilainya lain dari farah. Jika saya membaca buku seseorang tokoh (seperti 3 tokoh diatas), saya sentiasa ingin menyelidik orang dibelakang tabir yang membentuk ketokohannya iaitu ibubapanya dan saudara serta kawan-kawan sekelilingnya. Penumpuan saya tidak fokus pada subjek yang dibincangkan. Maka jika ianya berlainan dari pendapat orang lain pada buku yang sama, ia adalah kerana sebab-sebab tersebut. 

Bagi saya, membaca 3 buah buku ini adalah seolah membaca kisah berkisar cara mendidik anak dalam bentuk sebuah novel yang menarik dan terbukti hasil kisahnya dan bukan seperti membaca sebuah buku peraturan panduan mendidik anak  yang biasa-biasa di pasaran. Saya pasti tentu ada sebab Allah mempertemukan saya dengan buku-buku ini. Alhamdulillah.. Semoga saya mengambil pengajaran daripadanya. 

Sebelum kita ambil pengajaran dari ibu-ibu ini, saya ingin bercerita serba sedikit tentang Mustafa Kamal Attartuk. Saya menyentuh tentang beliau kerana saya rasakan dia begitu dekat dengan zaman kita. Meninggal pada tahun 1938 (zaman nenek atuk kita). Memang dekat jika dibandingkan dengan 2 tokoh lain yang zamannya terlampau jauh. Ibunya, Zubaidah Hanim, membesarkan dia sangat hampir dengan kebanyakkan ibu-ibu zaman sekarang membesarkan anak. Sebab itulah pentingnya kita mengkaji siapa Mustafa Kamal Attartuk ini dan kenapa dia jadi begitu sebagai pengajaran untuk kita dalam mendidik anak-anak kita. Mengapa Allah murka kepadanya hingga meninggalnya dalam keadaan tersiksa dan mayatnya tidak diterima bumi walaupun sudah beberapa kali cuba ditanam. 

Mustafa Kamal Attartuk adalah antara orang yang sangat tidak bersetuju melihat orang membaca al Quran tetapi tidak faham makna. Baginya membaca al Quran tanpa kita mengetahui maknanya adalah seperti orang mabuk atau seperti orang gila! Maka beliau memerintahkan supaya semua Quran ditukar kepada bahasa Turki. Membacanya mesti dalam Bahasa Turki dan tidak ketinggalan, azan juga ditukar sama. 
Sebenarnya bukan beliau sahaja yang beranggapan begitu. Ada ramai manusia diluar sana juga beranggapan yang sama. Cuma yang membezakan orang diluar sana adalah mereka bukanlah penguasa negara seperti Mustapha Kamal Attartuk yang boleh mengeluarkan perintah seperti itu. Saya sendiri pernah ditanya oleh seorang muslim.. kenapa al Quran tidak di buat seperti Bible yang dialih bahasa supaya kita faham membacanya dan tidak perlu tengok terjemahan. Juga tidak perlu belajar membaca al Quran (iqra). 
Ingin saya ingatkan, Rasulullullah s.a.w mempunyai lebih dari 1000 mukjizat dan tiada satu pun yang tinggal untuk kita yang berada di zaman ini kecuali al Quran. Mukjizat al Quran itu adalah benar jika ia dibaca dalam bentuk asal. Adalah wajib kita belajar membacanya dengan betul dan bertajwid terlebih dahulu. Memahami makna al Quran kemudian pun tidak mengapa. Sebuah kajian yang dilakukan, seseorang yang tidak tahu apa maknanya "La haulawala quwataillah..." bila menyebutnya berulang kali, akan memberi satu tekanan pada mekanoreceptor yang terletak didalam mulut yang menyebabkan timbulnya rasa tenang kepada penyebutnya. Mulut mempunyai beberapa bahagian yang agak sensitif dan menyebut perkataan didalam al Quran dengan tekanan di lidah dengan betul (tajwid yang betul) akan mengeluarkan neural signal yang disalurkan ke otak. Ia juga memberi kesan mengurangkan tekanan kepada jantung, baik mereka yang menghidap penyakit jantung. Kesan ini tidak terdapat di dalam mana-mana bahasa didunia yang mengeluarkan apa pun bentuk susunan perkataan mereka termasuk bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Pernah dengar kuasa bunyi (ultrasound) dalam bidang perubatan? Contohnya, doktor menggunakan ultrasound untuk memecahkan batu karang didalam buah pinggang tanpa pembedahan major. Ayat al Quran yang dibaca dengan betul, bila didengar akan mengeluarkan satu kuasa penyembuhan untuk tubuh. Membacanya memberi satu kesan, dan mendengarnya juga memberi satu kesan lain pada tubuh badan manusia. Saya akan kongsikan buku yang saya baca mengenai kajian ini di emel akan datang. InsyaAllah. 

Janganlah kita memberatkan maknanya dahulu ketika mengajar anak-anak kecil membaca al Quran.  Alif Lam Mim yang tidak kita tahu apa maknanya jika dibaca  akan mendapat 30 pahala kerana Allah telah berjanji setiap huruf dibaca mempunyai 10 pahala.  Kejarlah kesan kebaikkan membacanya dan pahalanya dahulu. Janji Allah, jika kita jaga kalam Allah, Allah akan jaga kita. Jika anak kita yang menjaganya, anak kita InsyaAllah akan terpelihara. Semoga anak kita terpelihara dari segala kerosakkan rohani ataupun kerosakkan jasmani. InsyaAllah, terlampau banyak terjemahan al Quran yang boleh dibaca di luar sana yang boleh dibacanya jika dia sudah boleh membaca nanti. 

Kita bercerita tentang impian suami isteri untuk anak yang sama. 

Alhamdulillah jika kita mempunyai cita-cita yang sama untuk anak-anak kita. Mudah kita untuk merancang hala tuju pendidikan mereka. Tetapi apa kata jika ianya berbeza? Suami ingin anak jadi begini, isteri ingin anak jadi begitu? Memang tidak dinafikan ada ramai pasangan yang bertengkar dengan pasangan masing-masing kalau tidak kerana masalah duit, ia boleh jadi kerana ibu mertua, adik ipar, juga sebab anak dan lain-lain. Yang pertengkaran kerana anak inilah yang kita kena utamakan/segerakan penyelesaiannya. Itulah juga antara topik yang saya bincangkan dalam kursus 'Mengajar Al Quran Pada Bayi dan Kanak-Kanak'.

Berbalik kepada Pengajaran Dari 3 Ibu (Ibu Imam Syafie, Ibu Muhammad Al Fateh, Ibu Mustafa Kamal Attartuk) . Maafkan saya jika kali ini saya ingin melencong sedikit. Saya ingin berbincang tentang BAPA sebelum berbincang tentang ibu-ibu ini. Dari 3 bapa ini, hanya bapa Mustafa Kamal Attartuk sahaja yang tidak mahu anaknya bersekolah di sekolah agama dan mahu dia di sekolahkan di sekolah yang baik pada tanggapannya. (biasa dengar cerita macam ni?) Ayahnya berkawan baik dengan orang Yahudi, sangat tertarik dengan kejayaan orang Yahudi dalam bidang ekonomi dan mahu anaknya bersekolah seperti anak mereka. (untuk senario zaman sekarang, mungkin kita pernah tengok orang kita hantar anak pergi Sekolah Cina dengan sebab yang sama) Ini menyebabkan ayahnya selalu bertengkar dengan ibunya tentang kemana arah hala tuju anaknya itu. Ayahnya mengimpikan anaknya untuk menjadi seorang pemimpin satu hari nanti. Ibunya pula ingin dia menjadi seorang tahfiz. Rapat bapanya dengan orang Yahudi sehingga bila dia meninggal dunia, rakan Yahudinya itulah yang membantu menanggung persekolahan anaknya sehingga Mustafa Kamal Attartuk menganggapnya sebagai bapanya yang baru. Rasulullah telah mengajar kita untuk berhati-hati dengan orang Yahudi tetapi nampaknya dia mengejar cita-cita untuk anaknya lebih dari dia menyayangi Rasulullah. Tentulah Allah Maha Arif tentang niat buruk yang tersembunyi didalam hati mereka sehingga Rasulullah menyuruh kita berhati-hati dengan mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w, " Tidak sempurna iman salah seorang dari kamu sehingga aku lebih dia cintai dari ayahnya, anaknya dan semua manusia"

Ingin saya perjelaskan disini, bagi negara Barat, tercatat dalam sejarah mereka bahawa Mustafa Kamal Attartuk adalah seorang wira. Beliau adalah seorang tokoh... satu contoh yang dipuja dan dihormati. Manakan tidak, Tentera Salib telah cuba menghancurkan kerajaan Kekhalifahan Islam selama berabad lamanya tetapi tidak berjaya. Rupanya ia perlu dihancurkan dari dalam dan boleh dilakukan dengan sekelip mata oleh Mustafa Kamal Attartuk. 

Saya harap jangan salah faham dengan apa yang ingin saya sampaikan. Tidak salah untuk menghantar anak ke sekolah mana pun tetapi jangan ketepikan al Quran. Alangkah baiknya jika Mustafa Kamal Attartuk menjadi seorang pemimpin seperti yang diimpikan bapanya DAN JUGA seorang tahfiz seperti yang diimpikan ibunya. Akhirnya hanya impian bapanya sahaja yang tercapai dan begitulah yang tercatat dalam sejarah.

Untuk siri ke 4 dan terakhir, saya ingin membawa farah ke senario dibawah..

"Kesian tengok budak-budak zaman sekarang bersekolah. Pagi nak pegi sekolah agama, balik tukar baju kena pegi sekolah kebangsaan. Balik sekolah kebangsaan, budak dah letih. Mandi, makan malam selesai semua lepas tu nak kena buat kerja sekolah pulak. Mana nak tusyen lagi, mengaji lagi?"

Biasa dengar? Saya sendiri kasihan tengok anak-anak buah saya balik sekolah dalam keadaan penat. Itu belum lagi kalau anak saya sendiri pula nanti. Semoga saya lebih mengasihani masa depan mereka dari mengasihani kepenatan mereka ketika itu. Ramai ibubapa tidak sanggup 'memaksa' anak mereka untuk memegang al Quran kerana rasa kasihan dan belas mereka yang tidak sepatutnya. Begitulah juga kesilapan ibu kepada Mustafa Kamal Attartuk. Sebab itu saya kata Novel Mustafa Kamal Attartuk yang saya jual dan kehabisan stok itu lebih mirip dengan kehidupan ibu-ibu zaman sekarang membesarkan anak mereka. Itulah kesilapan beliau sehingga anaknya menjadi seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Tanpa kita sedari akhirnya al Quran adalah keutamaan kita yang paling akhir. Al Quran di pegang di 'hujung-hujung' sahaja.  Memang Zubaidah Hanim, ibu kepada Mustafa Kamal Attartuk ini selalu bercerita dengan anaknya supaya bila dewasa nanti anaknya itu mesti menjadi seorang tahfiz al Quran. Namun, ianya cuma hanya pada kata-kata, harapan dan doa. Hakikatnya, kehidupannya tidak dimanifestasikan selari dengan harapannya. Anaknya membesar dengan bersekolah disebuah sekolah terkenal (Dia bersekolah di sekolah kadet ketika itu yang mungkin sama terkenalnya ala-ala Royal Military College, Malaysia kot?). Kasihan dia melihat anaknya balik kepenatan kemudian mengulangkaji pelajaran hingga larut malam. Maka berlalulah hari-hari hingga dia dewasa tanpa al Quran. Maka, walaupun ketiga-tiganya adalah wanita yang kuat beribadat, ketiga-tiganya adalah wanita yang kuat beragama, mempunyai cita-cita yang sama untuk anak masing-masing iaitu menjadi tahfiz al Quran, tetapi usaha mereka adalah berlainan. Allah itu Maha Adil, hasilnya juga adalah berlainan. Yang dua menjadi pengharum agama dan penakluk kota dunia dan yang satu lagi menjadi pemusnah Islam
Yang jelasnya.. Ibu Imam Syafie dan Ibu Sultan Muhammad Al Fateh sangat tegas dan pentingkan al Quran. Mereka sanggup memarahi dan membiarkan anak mereka dipukul guru kerana mahu anaknya mempelajari al Quran. Selepas menguasai al Quran barulah mereka ke cabang lain. Imam Syafie suka pada syair hingga dia menghafal 10,000 syair dalam masa 2  bulan sahaja? Dan Muhammad Al Fateh boleh bertutur 6 bahasa pada umurnya 17 tahun sahaja. Mengutamakan al Quran tidak menyebabkan mereka tinggal ke belakang jika mereka memilih untuk terus kedepan. Namun peranan ibulah yang menentukan dan mendorong hala tuju mereka.
Cuba kita tanya pada diri kita sendiri pula. Adakah kita ibubapa yang hanya punya cita-cita sahaja atau sentiasa ingin mencari peluang dan cara untuk menjadikan anak kita menguasai al Quran. Sanggupkah kita berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk anak kita mahir al Quran?
Ada juga suara yang berkata anak mereka dah disekolahkan ke sekolah agama pagi/sekolah agama rakyat (betulkan saya akan namanya jika saya silap) maka tak perlu dah untuk mengajar al Quran. Seorang ustazah sekolah agama rakyat ini pernah memaklumkan pada saya  untuk kanak-kanak darjah 1-6 ini, sukatan pelajaran mereka tidak fokus untuk mengajar al Quran sahaja. Akhlak, hadis, sirah, khat, Jawi dan lain-lain itu adalah antara pelajaran yang diajar. Mata pelajaran al Quran cuma dalam beberapa kali sahaja dalam satu minggu. Sebab itu ada murid yang sudah ke tahun 6 disekolah ini masih tidak boleh membaca al Quran jika ibubanya sendiri tidak ada usaha untuk mengajar diluar sekolah.

Kesimpulan yang saya buat adalah tidaklah terhad kepada apa yang saya tulis. Jika di satukan Novel ketiga tiga tokoh ini ianya melebihi 1000 muka surat. Terlalu banyak untuk saya pelajari dari 3 novel ini. Maaflah segala kekurangan dan kesilapan dalam membuat kesimpulan yang terhad ini. Semoga ianya sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada kita semua. Jika farah ingin mendapatkan novel tersebut boleh klik disini.

Ikhlas dari,

Lina Karim
http://darwishndarwisya.blogspot.com/
http://islamicparentingnetwork.com.my/
 
Klik LIKE kalau suka entri ni :)

0 comments:

Copyright © 2008 - SubhanaAllah... - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template