10 Tips Belajar Pengucapan Awam

Pada Januari lepas, penulis dijemput menyampaikan satu ceramah kepimpinan kepada barisan kepimpinan SMU (A) Muhammadi (L) Kota Bharu Kelantan. Penulis diminta mengupas sikap profesionalisme Rasulullah SAW sebagai pemimpin contoh. Sejumlah “15 i” yang mewakili intipati profesionalisme kepimpinan Rasulullah SAW yang boleh kita pelajari dan amalkan untuk menjadi pemimpin yang wibawa dan dihormati. InsyaAllah akan penulis kupas di tulisan mendatang. Pada tulisan kali ini penulis mahu memberi respon kepada 1 soalan dari seorang peserta yang bertanyakan bagaimanakah dia boleh memperbaiki pengucapan awamnya kerana dia amat berminat dalam memberi ceramah motivasi dan bimbingan. Berikut penulis kongsikan 10 tips Untuk Memantapkan Pengucapan Awam, semoga bermanfaat.

1. Tahu apa tajuk, isi kandungan, bahan-bahan dan sebagainya yang hendak disampaikan. Pilihlah tajuk yang anda minati, fasih, faham dan menguasai. Jangan cuba menjadi penceramah serba tahu. Cuba dapatkan lebih lanjut huraian tajuk, buat “homework” tajuk tersebut, ianya akan membantu anda untuk memantapkan bahan penyampaian anda. Pelbagaikan bentuk dan isi kandungan penyampaian, ada humor, cerita peribadi dan bahasa percakapan, kisah seseorang yang boleh dijadikan teladan, video yang bersesuaian, gambar dan sebagainya - dengan cara itu ia akan dapat membantu anda untuk mengingat dan menyusun bahan penyampaian anda dengan lebih menarik.

2. Latihan, Latihan, Latihan! Sentiasa berlatih, samada berseorangan dengan suara perlahan atau kuat, mahupun bersama rakan. Kemudian buat penilaian, baiki dan catat apa yang lemah dan perlu diperbaiki. Cuba kuasai setiap sub topik, recall apa isi penting yang hendak disampaikan dalam setiap sub topik. Amalkan pendekatan berhenti sejenak dan bernafas dengan tenang. Sentiasa berlatih dengan ambil kira perjalanan masa agar kelak penyampaian anda tidak terlalu panjang atau terkejar-kejar masa.

3. Visualisasikan diri anda dalam menyampaikan ceramah atau pidato anda. Bayangkan diri anda bercakap, suara lantang, jelas dan penuh keyakinan diri. Visualisasikan para pendengar bertepuk tangan, tersenyum dan sentiasa memandang anda tanda mereka gembira, berminat dan terfokus kepada penyampaian anda, ini akan meningkatkan rasa percaya dan yakin pada diri anda.

4. Sentiasa tiba awal di lokasi program. Berjalan di sekitar kawasan program, bersembang-sembang dengan urusetia program dan bertanya soalan berkenaan latarbelakang peserta, apa aktiviti yang telah dibuat sebelum ini dan sebagainya. Buat cubaan mikrofon dan alat bantu visual agar tidak berlaku gangguan ditengah sesi penyampaian anda kelak.

5. Kenali siapa audien atau pendengar anda. Menyapa beberapa peserta atau pendengar apabila memulakan bicara, bertanya khabar, memanggil mereka dengan panggilan yang menarik seperti adik-adik sayang, adik-adik kasih dan sebagainya. Lemparkan senyuman. Pandang wajah-wajah mereka terutama wajah yang menyenangi hati melihatnya.

6. Tenang. Mulailah dengan doa, zikir dan selawat di dalam hati. Ambil masa anda untuk menenangkan saraf anda. Duduk dengan kemas, berdiri dengan betul, berjalan dengan tertib. Lemparkan senyuman, tutur sepatah demi sepatah, jangan terlalu laju bercakap, pindahkan rasa gementar kepada ketenangan dengan bersembang dan bertanya khabar/soalan kepada peserta.

7. Sedarilah bahawa mereka yang mendengar inginkan anda berjaya menyampaikan sesuatu yang terbaik untuk mereka. Audien ingin anda berjaya menarik perhatian mereka, menstimulasi minda, emosi dan sikap mereka, memberi maklumat dan tips yang berguna dan menghiburkan hati mereka. Mereka yakin kepada anda. Maka anda tidak perlu risau, sampaikan kepada mereka dengan yang terbaik.

8. Beri tumpuan pada mesej yang anda mahu sampaikan. Jangan sampai hilang arah atau terlalu banyak bercerita perkara-perkara di luar tajuk / sub topic. Jangan biarkan penonton hilang arah penceritaan dalam penyampaian anda, sentiasa menarik focus audien setiap kali memulakan sub topik.

9. Tingkatkan dan timba pengalaman. Pengalaman membina rasa percaya diri, yang merupakan kunci untuk mampu memberi ceramah dengan lebih berkesan. Jangan segan silu ikut siri program pelatihan pengucapan awam, ianya akan membantu anda.

10. Jangan jemu-jemu bermunajat dan berserah diri kepada Allah, luruskan niat bahawa kita melaksanakan pengucapan awam ini adalah dalam proses melaksanakan tuntutan dakwah. Bukan mencari nama, populariti dan mencari duit tambah. Jangan bergantung semata kepada bakat dan kebolehan, sebaliknya tawadhu’lah di hadapan Allah yang sesungguhnya Dia-lahpenganugerah potensiserta kemahiran yang kita bina dan miliki. Maka sebagai imbal baliknya, sampaikan penyampaian / ceramah anda semata-mata mencari keredhaan Allah dan pahala dari Allah SWT.

Sumber:http://usrahkeluarga.blogspot.com/2011/02/10-tips-belajar-pengucapan-awam.html

0 comments:

Copyright © 2008 - SubhanaAllah... - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template