10 Langkah-Langkah untuk Menghidupkan Majlis Ta’lim di Rumah

Saya dapat rasakan..bahang kehangatan semangat ibu-ibu dan bapa-bapa di luar sana yang tidak sabar lagi untuk menghidupkan MAJLIS TA’LIM di rumah masing-masing. Subhanallah!! :)  Semoga Allah swt terima niat suci murni ibu-ibu dan bapa-bapa semua….




Sebelum saya meneruskan penulisan saya, mari kita imbas kembali sebab-sebab mengapa kita mahu hidupkan majlis ta’lim di rumah kita? Apabila kita tahu sebab dan keperluannya, maka kita akan lebih bersungguh-sungguh untuk menghidupkannya. InsyaAllah.

Antara sebab-sebab nya ialah…

Kerana kita semua mahu rumah kita dikunjungi oleh para malaikat, dikurniakan oleh Allah swt dengan taufiq & hidayah, rahmat akan turun mencurah-curah ke atas rumah kita, dan sakinah (ketenangan) akan menyusup masuk ke dalam setiap jiwa ahli keluarga kita.

Apabila rumah kita hidup dengan amalan agama seperti majlis ta’lim, maka segala amalan buruk, kegelapan, ketegangan akan djauhkan daripada rumah kita. Amalan ini akan membawa “nur” kepada rumah kita dan kesannya, kehidupan suami, isteri dan anak-anak akan bahagia. InsyaAllah. :)

Jadi, sekarang sudah jelas bagi kita bahawa, bukan ahmad, aminah, aunty siew mei atau uncle siva yang memerlukan majlis ta’lim ini..bahkan, KITA dan KELUARGA kita lah yang sangat-sangat memerlukan majlis ta’lim ini.

Jadi sekarang, bagaimana caranya untuk menghidupkan majlis ta’lim di dalam rumah kita?

1. Adakanlah mesyuarat bersama suami atau isteri agar kedua-duanya memahami betapa penting dan mulianya menghidupkan majlis ta’lim di rumah kita.

2. Tentukan waktu untuk majlis ta’lim. Waktu yang terbaik untuk ta’lim adalah adalah apabila semua ahli keluarga boleh berkumpul pada waktu itu.

Katakan, waktu ta’lim telah diputuskan pada pukul 9 malam; maka semua orang di dalam rumah kita, baik yang sedang basuh pinggan, baca suratkhabar atau buat kerja sekolah, perlu menghentikan aktiviti masing-masing dan berkumpul untuk majlis ta’lim.

3. Tentukan tempat atau ruang yang khas untuk diadakan majlis ta’lim. Sebaik-baiknya, ta’lim diadakan di tempat dan waktu yang sama secara istiqamah kerana malaikat-malaikat akan menunggu kedatangan ibu-ibu sekeluarga pada setiap hari di tempat yang sama, insyaAllah.

4. Bawa adab-adab duduk di dalam majlis dengan sempurna, seperti duduk iftirasy, menutup aurat, mendengar dengan tawajuh dll

5. Memperdengarkan bacaan sebuah buku. Buku yang dicadangkan ialah kitab Fadhail A’mal (Kelebihan-kelebihan amal), karangan Maulana Muhammad Zakariya dan Muntakhab Hadis (Hadis-hadis Terpilih) oleh Maulana Muhammad Yusof. Kedua-dua kitab ini mempunyai roh kerohanian yang sangat tinggi kerana “nur” daripada ayat-ayat Quran dan hadis-hadis yang telah dipilih, serta tafsiran dan kupasan yang dibuat dengan begitu baik & teliti oleh seorang ulama yang mempunyai jiwa kerohanian yang sangat tinggi.

6. Bacalah kitab-kitab ini secara bergilir-gilir. Katakan, hari isnin, Fadhail A’mal dan hari Selasa pula Muntakhab Hadis.

7. Kemudian, bacalah 1 atau 2 hadis bagi setiap bab setiap hari. Contohnya; 2 hadis daripada fadhilat solat, 1 hadis daripada fadhilat Al Quran dsb

8. Ibubapa dan anak-anak boleh bergilir-gilir untuk membacakan kitab tersebut. Beri peluang kepada semua ahli keluarga untuk menyampaikan dakwah.

9. Pastikan, tiada huraian yang dibuat oleh si pembaca. Ini kerana, untuk mengelakkan sebarang kesilapan dalam mafhum ayat Quran atau hadis, dan juga untuk menggalakkan setiap ahli keluarga (baik yang belajar aliran agama atau engineering) boleh dan mampu untuk melaksanakan tugas dakwah.

10. Adakan majlis taklim sekurang-kurangnya dalam masa 30 minit pada setiap hari.

InsyaAllah, sama-samalah kita berazam untuk menghidupkan majlis ta’lim di dalam rumah kita, kerana majlis ini merupakan satu sunnah Rasulullah saw.

Pada zaman sahabat-sahabat r.ahum, setiap kali mereka pulang ke rumah setelah menghadiri majlis ta’lim Rasulullah saw di masjid, mereka akan adakan pula majlis ta’lim bersama ahli keluarga di rumah, untuk menyampaikan apa yang telah mereka dengar dan belajar daripada Rasulullah saw kepada isteri dan anak-anak mereka.

Indahnya kehidupan dalam rahmat, ketenangan dan keampunan daripada Allah swt….. :)

Semoga Allah swt memberikan taufiq dan hidayah buat saya untuk istiqamah dalam menghidupkan majlis ta’lim di rumah.

Artikel : anakkusoleh.com

Klik LIKE kalau suka entri ni :)

0 comments:

Copyright © 2008 - SubhanaAllah... - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template